Sesudah subuh :: Kluang. Tidak merancang pun. Keputusan tiba-tiba pada malam sebelumnya. "Esok jom ke Kluang". Tiba di Kluang setelah beberapa jam perjalanan. Kluang bukan tempat baru dan tidak juga janggal. Ini kali kedua saya kembali sejak 15 tahun dulu ketika saya menghadiri kursus P.T.D di INTAN Wilayah Selatan. Saya dibesarkan di sini semasa kecil sebelum bersekolah dan sekali lagi ke sini pada tahun 1986 sehingga ke tingkatan 3. Tempat yang banyak nostalgia sebagai seorang anak anggota tentera. Kami tinggal di dalam Kem Mahkota. Tempat yang memupuk saya menjadi manusia dengan jati diri. Tempat yang membuatkan saya menjadi berani.
|
7.00 pagi yang indah, Lebuhraya Lekas ke Senawang. |
Pengalaman kanak-kanak di sini sangat menerujakan. Rasa teruja sebab dapat ingat semua dengan jelas, zaman riang ria kanak-kanak bermain dengan rakan sebaya. Bukan bermain sahaja, bab belajar pun ingat juga bila emak dan abah marah kerana asyik bermain dari tengahari sehingga matahari hampir terbenam. Budak-budak asyik ingat seronok sahaja. Dulu mana ada gadget kan. Mana ada handphone, mana ada iPad, Tabs, Wii, Xbox, PS3, Nintendo dan segala bagai. Yang ada adalah lastik burung, senapang kayu dengan buah terung pipit sebagai peluru, jaring kelambu untuk tangkap guppy, kail untuk mengail ikan talapia di lombong, pokok mempelam, pokok jambu. Nostalgia sungguh.
Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Kluang. All boys school. Di sini saya bersekolah semasa darjah enam. Tidak ada apa yang seronok sangat. Entah kenapa tidak berapa seronok. Mungkin sebab saya tidak berapa ingat. Yang saya ingat adalah saya ada seorang guru kelas yang garang, yang juga guru bahasa Inggeris. Rasa garang sebab saya kena marah sebab tidak ingat alamat rumah. Mana saya ingat sebab baru pindah. Tidak ingat tapi tahu rumah di mana, tidak pernah sesat pun bila balik ke rumah. Darjah 6 tidak perlu ingat alamat rumah siap dengan nombor, jalan, lorong, taman, dan poskod sekali. Dalam fikiran masa darjah 6 macam itu lah. Mungkin juga saya baru sahaja berpindah ke sini jadi suasana agak asing, kawan juga baru. Baru nak warm-up katakan.
|
S.T.K |
Sekolah Tinggi Kluang (S.T.K). Kini sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Sekolah menengah yang jaraknya kurang 1 km dari All boys dan bersebelahan Masjid Jamek Kluang. Semua pelajar All boys secara automatis ditempatkan di S.T.K."Sekolah Tinggi Kluang yang tercinta, tabur bakti sentiasa, bak mutiara gemerlapan menyinari gelita". Itu beberapa rangkap lagu rasmi sekolah yang perlu dinyanyikan pada setiap hari semasa perhimpunan sebelum bergerak masuk ke kelas. Saya ditempatkan di kelas sains pertanian. Aliran yang sungguh tidak glamour kalau ikut persepsi pada masa itu, kalau hendak dibanding dengan kelas perdagangan atau pertukangan. Semua pelajar All boys ditempatkan di aliran sains pertanian. Tapi OK juga sebab belajar "sains". Sains mengenai tanaman dan binatang ternakan.
|
Kelas 1ST1. Kesian sungguh rupanya. |
Saya ditempatkan di kelas 1ST1. Di sinilah saya kenal beberapa rakan yang saya jumpa kembali dan bersahabat sehingga sekarang. Aminuddin Mokhtar (Amin) yang kini seorang penyarah di UKM. Saya bertemu kembali Amin semasa minggu orientasi pelajar baru UKM. Kebetulan saya dan Amin ditempatkan di Kampung Siswa yang sama. Risham, sahabat baik saya di S.T.K yang kini memiliki syarikat sendiri. Kami bertemu melalui facebook dan tersemuka semasa menghantar emak dan abah di Kelana Jaya beberapa bulan lepas. Sehingga kini dia masih solo. Ingat juga beberapa orang kaki buli, Zaini namanya. *maaf tertaip nama hahaha*. Orangnya kecil tapi kuat membuli, mungkin saiz saya pun kecil comel juga pada masa itu. Dia berani membuli, saya tidak berani membalas sebab takut cikgu marah. Baik kan saya?
|
Astaka |
Saya ke S.T.K semula. Memasuki dan melawat sekolah sebagai salah seorang alumni S.T.K. Melawat makmal sains. Di makmal ini saya pelajari ilmu asas sains - bahan kimia kalium, nitrium, kalsium, magnesium, aluminium, zink dan lain-lain. Formula yang diajar pada masa itu macamana hendak mengingat K.N.C.M.A.Z.F.T. Proses pembiakan mamalia katak, arnab, tikus. Kaki kemudian melangkah ke astaka tempat menonton perlawan ragbi antara sekolah, dan tempat yang saya terkujat dan terpinga bila seorang kakak di tingkatan 4 tiba-tiba "boleh saya buat adik angkat?".hahaha. Kaki melangkah lagi ke kawasan perhimpunan berbumbung yang juga gelanggang bola keranjang S.T.K, tempat menyanyikan lagu "Sekolah Tinggi Kluang yang tercinta...". Di sini juga tempat yang paling digeruni bila guru disiplin dan pengawas berbaris di kiri dan kanan memantau rambut, kuku, kaki seluar, baju, setokin dan kasut pelajar-pelajar. Masih ingat pelajar disuruh melipat kaki seluar hingga paras lulut. Jika tidak lepas, seluar akan di koyak di bahagian tepi jahitan. Maka akan jadilah seperti seluar koboi dan akan dipakai sehingga balik sekolah. Jika rambut panjang, rambut akan digunting di situ juga oleh guru disiplin. Pelajar tidak dibenarkan memakai setokin pendek, dan kasut kanvas sajaja dibenarkan. Sungguh ketat disiplin pada waktu itu. Itu dulu. Kini saya yakin sudah banyak berubah. Disentuh tidak boleh apatah lagi menggunting, menjentik, merotan dan menampar. Jika dulu kena rotan di sekolah, balik rumah akan dirotan lagi. Jika ditampar, balik akan ditampar lagi. Itu salah satu cara bagaimana disiplin dipupuk. Ya, ia berkesan. Alhamdulillah, kebanyakkan mereka kini menjadi manusia dalam erti kata tidak tersasar ke arah kehidupan abnormal.
|
Rumah baru pengakap |
|
Mural berusia 41 tahun. Besarkan lihat pada wajtu malam bila keseorangan |
Rumah kayu Pengakap Kumpulan 1 Kluang sudah tiada! rumah kayu di tepi gelanggang bola keranjang. Mungkin sudah dirobohkan untuk pembinaan kampus Pra-Universiti (tingkatan 6) yang saya lihat kini berada di tapak yang dahulunya adalah padang bola. Rumah pengakap telah digantikan dengan bilik di bangunan batu. Kantin sekolah masih seperti itu juga. Saya kemudiannya ke bangunan hadapan (yang dibina pada tahun 1939) yang menempatkan bilik pengetua dan bilik guru. Terpampang di dinding bahagian dalam bangunan ini adalah mural yang dilukis pada tahun 1974. Kekal sehingga sekarang. Mural yang agak menakutkan kerana karakter-karakternya hanya bermata putih *senyum*. Di sini saya bertegur sapa dengan seorang guru yang rupanya juga bekas pelajar yang pada ketika itu berada di tingkatan 6.
Tamat kisah S.T.K. Hati sangat teruja untuk melawat Kem Mahkota. Tempat kami 5 beradik pada masa itu membesar. Merancang untuk memasuki Kem Mahkota dengan cara yang paling formal dan terhormat. Meletakkan kereta di parking yang disediakan dan berjalan masuk untuk mengambil pas pelawat. Hah! jawapan yang terima sungguh mengecewakan "Saya tak boleh benarkan Encik masuk". Pulang semula ke kereta dengan hati yang hampa kecewa. "Mungkin tidak ada rezeki" cuba pujuk hati. Esok kami datang lagi untuk mencuba nasib. Kereta memasuki lagi perkarangan kem. MP hanya mengangkat tangan. Kereta terus menyusur masuk dengan selamba. Ha! moral ceritanya, jangan buat baik sangat. Buat baik tidak semestikan diterima dengan baik. Janji tidak membawa apa-apa kemudaratan, saya Okey. Kereta menyusuri laluan biasa yang diguna hampir 30 tahun dulu. Tidak banyak berubah, bangunan, padang, dan kuarters. Seperti itu juga. Kuarters yang kami duduki dulu masih ada cuba kini telah terbiar ditumbuhi belukar. PERNAMA tempat kami sekeluarga membeli keperluan runcit juga masih ada. Laluan yang saya dan adik-adik gunakan untuk ke sekolah kini telah ditutup. Ini laluan alternatif singkat untuk berulang-alik ke sekolah dengan berjalan kaki. Masih ingat dulu kami dan adik-beradik yang lain menggunakan laluan belakang (hutan okey) tanpa rasa risau--diculik, dirompak, diugut, dan sebagainya. Selamat 100%. Tidak pasti samada semua orang pada ketika itu baik-baik belaka atau orang jahat masih belum wujud.
|
Rail Hotel |
Tamat kisah Kem Mahkota (Maaf tiada foto untuk tujuan keselamatan) *Sebenarya takut untuk mengambik gambar, takut ditahan MP*.
Bandar Kluang ada sedikit perubahan. Terdapat kawasan bandar baru. Stesyen bas juga baru. Masih ingat di stesyen bas lama terdapat restoran McDota (macam KFC) pada suatu ketika dulu. Gunung Lambak yang dulu hanya terdapat laluan-laluan kecil kini telah menjadi tempat rekreasi yang agak baik.
R.A.S.H.I.D.I.SAID
Duduk di Kluang Garisson ke Kem Batu 3 ?
ReplyDelete